Seorang wanita terkejut apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memaklumkan bahawa dirinya berkemungkinan dikenakan tindakan undang-undang kerana hutang pinjaman sebanyak RM515. Semuanya gara-gara 1 sen baki yang tersisa dalam akaunnya.
Pinjaman PTPTN Diselesaikan 2015
Fateema Dzulkifli bingung kerana sebelum ini pinjamannya telah diselesaikan sepenuhnya iaitu pada tahun 2015.
Dia tidak mengetahui bahawa 1 sen baki pinjaman masih ada dalam akaunnya dan menjadi berganda-ganda sehingga begitu besar dalam tempoh 6 tahun.
Melalui catatan Facebook, Fateema mengatakan bahawa dia telah menyelesaikan baki pinjaman PTPTN menggunakan wang dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada bulan Julai 2015.
“Saya menyelesaikan pinjaman PTPTN saya sepenuhnya enam tahun yang lalu. Saya tidak tahu dari mana datangnya RM0.01 ini.
“Adakah ada orang lain seperti saya dalam situasi yang sama.
“Mereka yang telah melunaskan pinjaman, namun akaun masih lagi aktif.”
Catatan yang dibuat pada 18 Jun menjadi viral dengan lebih 5,000 tanda suka. Dia juga menunjukkan beberapa percubaan untuk menghubungi PTPTN namun tidak berjaya.
Dia kemudian menghantar pesanan kepada PTPTN melalui Facebook dan akhirnya mendapat perhatian.
Pihak PTPTN mengatakan bahawa, walaupun dia membayar baki hutang, namun masih berbaki RM0.01. Baki yang kecil itu telah terkumpul menjadi RM515 selama beberapa tahun kerana faedah, caj pentadbiran, kos insurans dan juga caj tertunggak.
Fateema tetap bertegas dengan menyatakan kesalahan bukan berpunca daripada diri namun atas kesilapan pihak PTPTN sendiri.
Akhirnya, pihak PTPTN menyelesaikan masalah tersebut dengan melupuskan hutang itu kerana ia disebabkan oleh kesalahan kemasukan data secara manual.
Kesilapan Secara Tidak Sengaja
Seorang wakil PTPTN mengatakan bahawa seorang pegawai telah “secara tidak sengaja” memasukkan RM0.01 untuk perkhidmatan Takaful ke dalam akaunnya. Perkara itu berlaku selepas sebulan dia melangsaikan hutang sepenuhnya.
Wakil itu memberitahu kemungkinan yang berlaku adalah kerana ketika itu PTPTN menggunakan sistem manual sebelum April 2016.
Fateema menasihatkan orang ramai yang pernah mempunyai akaun pinjaman PTPTN supaya memeriksa baki akaun mereka. Ia kerana hutang tersebut dapat mempengaruhi status kewangan mereka dalam sistem kredit pusat.
Nama akan diblack list dan ia juga boleh menyebabkan pertikaian undang-undang yang tidak perlu.
0 Comments