
Seorang wanita mengandung yang tinggal di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKPD) keguguran selepas dilarang berjumpa dengan doktornya.
Wanita itu yang tinggal di di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur memohon untuk keluar dari kawasan PKPD bagi tujuan rawatan pada 6 Julai lalu. Namun dilarang polis untuk berbuat demikian oleh anggota polis bertugas.
Memetik laporan Malaysiakini, suami wanita itu membuat perincian kisah mereka di sebuah laman web In Real Life.
Ayie, suami wanita itu berkata isterinya mengalami pendarahan pada bulan Jun dan dia diberi ubat oleh doktornya.
Menurutnya, doktor menasihati isterinya, yang berada pada fasa pertama tempoh satu pertiga kehamilan(13 hingga 14 minggu) untuk segera kembali ke klinik itu sekiranya pendarahan berlaku.
Pada hari kejadian, sekitar waktu tengahari isterinya dikatakan mengalami pendarahan lain. Lelaki itu memohon kepada pihak polis untuk membawanya berjumpa doktor, tetapi permintaan ini telah ditolak.
Seorang pegawai polis wanita dikatakan telah melarang mereka pergi ke klinik berkenaan dengan berkata perkara itu bukan kes kecemasan.
Pegawai itu juga didakwa mengarahkan mereka menghubungi Pasukan Perubatan Bergerak yang bersiap sedia di kawasan PKPD terbabit.
Pasangan berkenaan didakwa perlu menunggu selama beberapa jam sebelum ambulans membawanya ke sebuah klinik kerajaan lebih dari dua jam kemudian.
Wanita hamil itu telah diperiksa oleh seorang doktor, yang kemudian membenarkan pasangan tersebut pulang dengan tablet Asid Folik dan menasihati mereka untuk menghubungi 999 jika si isteri tiba-tiba “merasa banyak darah atau pendarahan keluar”.
“Kami dihantar pulang dengan tablet Asid Folik dan MC (sijil cuti sakit). Tidak ada pemeriksaan ultrasound yang dilakukan di Klinik Kesihatan itu untuk memastikan keadaan bayi kami baik-baik saja.
“Kami pulang ke rumah, bimbang dan bingung dengan apa yang baru saja terjadi. Kami tidak diizinkan untuk melakukan pemeriksaan bayi dan kami juga tidak diberi ubat tambahan yang telah habis,” katanya seperti yang dilaporkan.
Pasangan itu hanya mengetahui bahawa isterinya keguguran beberapa hari kemudian ketika mereka dibenarkan pergi ke klinik swasta untuk pemeriksaan lanjutan. Ketika itu, pasukan polis yang lain bertugas.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai menyatakan bahawa polis kini melancarkan siasatan berkaitan kes tersebut. Pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh suami wanita itu.
Suami wanita itu juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kejadian tersebut. Jurucakap EAIC mengesahkan pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu pada 11 Julai.
0 Comments