Umat Islam Malaysia akan menyambut hari raya Aidiladha pada 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442 Hijrah.
Sambutan pada tahun ini seakan ‘hilang’ kemeriahan kerana ramai yang terpaksa menyambutnya secara sendiri-sendiri di rumah masing-masing. Ini kerana ramai tidak dapat pulang ke kampung. Bahana Covid-19 yang masih belum berkesudahan.
Umat Islam amat digalakkan supaya menunaikan solat sunat Aidiladha iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut. Namun timbul kekangan untuk melakukan solat sunat Aidiladha kerana masjid-masjid di seluruh negara menghadkan jumlah jemaah yang dapat hadir untuk menunaikan solat.
Oleh itu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan teks khutbah bacaan di rumah agar memudahkan umat Islam untuk melakukan solat bersama keluarga di rumah masing-masing.
Solat Sunat Aidiladha
Solat sunat Aidiladha di rumah adalah sama dengan apa yang dilakukan di masjid-masjid sebelum ini.
Hukum Solat
- Hukumnya adalah sunat Muakkad – sangat-sangat dituntut supaya mengerjakannya.
- Rasulullah S.A.W juga tidak pernah melepaskan untuk menunaikan solat sunat Hari Raya sejak ia mula disyariatkan hingga akhir hayat Baginda.
Rukun dan Syarat Solat
- Rukun & syarat solat sunat Aidiladha adalah sama seperti solat fardhu.
- Cuma disunatkan bertakbir sebanyak tujuh kali selepas takbirarul ihram pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua. Di antara takbir diselitkan dengan bertasbih.
- Solat sunat ini ditunaikan sebanyak dua rakaat dan boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian.
Waktu Solat
- Solat Sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah ketika mula terbit matahari sehingga tergelincir matahari.
- Sunat supaya dikerjakan lebih awal bagi memudahkan mereka yang mengerjakan ibadah korban.
Cara Solat Sunat Aidiladha
Cara Solat Sunat Aidiladha adalah seperti berikut :
Rakaat Pertama :
1. Lafaz Niat
a) Lafaz niat solat (untuk Imam)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai Imam kerana Allah Taala.
b) Lafaz niat solat (untuk Makmum)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
c) Lafaz niat solat (bersendirian)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksud : Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat kerana Allah Taala.
2. Bertakbir
Setelah lafaz niat, lakukan “takbiratul Ihram” dengan menyebut “ Allahu Akbar”. Sertakan niat di dalam hati.
3. Membaca Doa Iftitah
Kemudian, sunat untuk diteruskan dengan membaca doa iftitah.
4. Takbir 7 kali & Bertasbih
Kemudian, lafazkan takbir sebanyak tujuh kali. Bagi yang bersolat jemaah, biarkan imam mulakan takbir pertama kemudian diikuti oleh makmum.
Takbir tersebut perlulah diselang-selikan dengan bacaan tasbih dengan nada perlahan. (Takbir 7 kali, tasbih 6 kali)
Bacakan tasbih :
سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Maksud: Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.
5. Teruskan Solat Sehingga Selesai Rakaat Pertama
Sampai ke takbir ketujuh, teruskan solat seperti biasa dimulai dengan bacaan Al-fatihah dan surah lazim. Lakukan rukuk dan sujud seperti biasa sehingga rakaat pertama selesai.
Rakaat Kedua
1. Takbir Pertama
Mulakan dengan lafaz takbir “intiqalat” iaitu takbir bagi permulaan rakaat kedua.
2. Takbir 5 Kali & Bacaan
Kemudian, lafazkan takbir sebanyak 5 kali.
Seperti dalam rakaat pertama, takbir tersebut perlulah diselang-selikan dengan bacaan tasbih dengan nada perlahan. (Takbir 5 kali, tasbih 4 kali)
Bacakan tasbih :
سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Maksud: Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.
3. Teruskan Solat Sehingga Selesai Rakaat Kedua
Setelah selesai takbir, teruskan solat dengan bacaan Al-Fatihah & surah lazim sehingga lengkap rakaat kedua.
Setelah salam, maka selesailah solat sunat Aidiladha.
Khutbah Aidiladha JAKIM 2021
Setelah memberi salam, imam boleh mula membaca khutbah untuk keluarga masing-masing.
Berikut adalah teks khutbah edisi bacaan rumah yang dikeluarkan oleh JAKIM:
Sempena perayaan ini, ELEHH mengucap salam Aidiladha kepada semua umat Islam berada, semoga bahagia dan ceria selalu walaupun ada yang berjauhan dengan ibu bapa.
Teks khutbah solat sunat Aidiladha ini boleh dimuat turun di sini.
0 Comments