Pelakon Sharnaaz Ahmad membahasakan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui perkongsian yang dibuat di laman Instagram. Ia menimbulkan persoalan adakah dia sudah bersedia dan berminat untuk menyertai politik.
Menjawab persoalan itu, Sharnaaz berkata, jawapannya mudah sahaja kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan masa depan, 5 atau 10 tahun akan datang. Namun buat masa ini dia cuma ingin berbakti kepada masyarakat, katanya menjawab kepada Utusan Malaysia.
Sharnaaz yang turut membantu masyarakat berkata, dia bukanlah orang kaya serta tidak ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di belakang. Sumbangan yang dibuat adalah dari hasil jualan kopi dan dana yang telah dikumpul oleh pasukannya sendiri. Dia juga berkata ramai yang membuat sumbangan untuk diagihkan.
Dalam pada itu, Sharnaaz meminta agar masyarakat bersatu hati serta tidak mengecam dan memperlekeh usaha membantu mereka yang dalam kesusahan seperti gerakan #Bendera Putih.
“Sekarang ramai sangat yang terseksa. Gerakan itu sebagai salah satu uasaha kita untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Kibar bendera putih itu ada banyak maksud. Dulu orang meninggal pun kibar bendera putih kan?
“Memang kita berdoa tetapi kalau tidak ada usaha, mana nak datang bantuan. Jadi apa yang saya ada, rezeki Allah beri ini mahu dikongsi bersama. Janganlah fikir satu maksud sahaja,” ujarnya.
Sementara itu Sharnaaz juga berkata, sekiranya terdapat lebihan bantuan dan dana ingin memfokuskan untuk memberi bantuan kepada penduduk Pulau Pinang. Negeri kelahirannya dan bantuan akan dibuat melalui pasukannya, Mamu Legacy
“Kalau boleh bukan Pulau Pinang sahaja, sebab satu Malaysia pun terjejas. Saya terima banyak juga pesanan dan permintaan khususnya daripada Pulau Pinang. InsyaAllah, saya akan susunkan bantuan melalui pasukan Mamu Legacy di sana,” katanya.
0 Comments