Filem arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur, melakar sejarah di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) apabila dinobat sebagai Filem Terbaik pada majlis yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, malam tadi.
Filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu turut unggul dengan membawa pulang enam lagi trofi, iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy), Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik (Johan Arif Mazlan), Lagu Tema Terbaik (Hasrat oleh Amir Jahari) dan Penataan Seni Terbaik (Rabbani Sujak)
Mengekori rapat Imaginur dalam persaingan trofi ialah filem Abang Adik yang merangkul lima anugerah, iaitu Tatarias Terbaik (Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin, dan Kua Goh Yoke Eng), Busana Terbaik (Elaine Ng), Pengarah Harapan (Jin Ong), Lakon Layar Terbaik (Jin Ong) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Jack Tan).
Trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik Susan Lankester menerusi filem Rain Town manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik diraih Elizabeth Tan melalui filem Sheriff.
A Galak, atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman manakala Anugerah Khas Karyawan diberikan kepada Indra Che Muda.
Bertemakan ‘Emas-Evolusi Sinema Malaysia’, FFM33 dianjurkan oleh Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi, bersiaran secara langsung menerusi TV2 dan laman YouTube Finas.
Senarai Penuh Pemenang FFM33
- Filem Terbaik: Imaginur
- Pengarah Terbaik: Nik Amir Mustapha (Imaginur)
- Pelakon Lelaki Terbaik: Beto Kusyairy (Imaginur)
- Pelakon Wanita Terbaik: Susan Lankester (Rain Town)
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Jack Tan (Abang Adik)
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Elizabeth Tan (Sheriff)
- Lakon Layar Terbaik: Jin Ong (Abang Adik)
- Cerita Asal Terbaik: Redza Minhat dan Nik Amir Mustapha (Imaginur)
- Anugerah Khas Sepanjang Zaman: A. Galak
- Anugerah Khas Karyawan: Indra Che Muda
- Anugerah Khas Juri 1: Sly Entertaiment Sdn Bhd, Naam Katra Isai (Muzik Kami Pelajari)
- Anugerah Khas Juri 2: Kalamariff Sdn Bhd (Duan Nago Bogho)
- Pengarah Harapan: Jin Ong (Abang Adik)
- Pelakon Lelaki Harapan: Aniq Durar (Pagari Bulan)
- Pelakon Wanita Harapan: Trisha Ooi (Janna Endoro)
- Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Qisya Hairulzain (Magik)
- Penyunting Terbaik: Johan Arif Mazlan (Imaginur)
- Sinematografi Terbaik: Rahimi Maidin (Sheriff)
- Lagu Tema Terbaik: Hasrat – Amir Jahari (Imaginur)
- Skor Muzik Asal Terbaik: Jackey Yow (Malbat Misi Bakara)
- Penataan Bunyi Terbaik: Nizam Razak (Mechamato Movie)
- Penataan Seni Terbaik: Imaginur (Rabbani Sujak)
- Rekaan Busana Terbaik: Elaine Ng (Abang Adik)
- Tatarias Terbaik: Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin dan Kua Goh Yoke Eng (Abang Adik)
- Dokumentari Terbaik: Pekik – Stereo Pixels Sdn Bhd
- Filem Pendek Terbaik: The Missing Trophy – Wayang Works Sdn Bhd
- Kesan Khas Visual Terbaik: Vipers Studio Sdn Bhd (Sheriff)
- Poster Terbaik: Layar Pictures Sdn Bhd (Walid)
- Anugerah Khas Filem Box Office: Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd (Sheriff)
Sumber – FMT
Sinopsis Filem Imaginur
Filem ini mengisahkan percintaan antara lelaki bernama Zuhal dengan gadis cantik bernama Nur yang sering muncul dalam mimpi Zuhal. Pada suatu hari Zuhal mengalami kemalangan ketika cuba mengejar seorang wanita yang dilihatnya dalam mimpi.
Selepas bangun, Zuhal berada di hospital bersama ayahnya yang menghidap penyakit Alzheimer.
Di sana dia disyorkan untuk berjumpa pakar hipnotis untuk menyelesaikan masalahnya. Ketika bersama ayahnya pergi ke pasar raya untuk membeli barang, Zuhal terserempak dengan bekas kekasihnya yang kini sudah menjadi tunangan orang. Ketika berdepan dengan bekas kekasihnya, dalam hati dia tidak sedar ayahnya telah menghilangkan diri.
Zuhal telah pulang ke rumah tanpa ayahnya di sisi sehinggalah adiknya, Isma, membangunkannya. Menyedari kehidupannya semakin dihimpit oleh keadaan, Zuhal mengambil keputusan untuk berjumpa pakar hipnotis di sebuah pusat bernama Hypnotica milik Dr. Ramli. Selepas berjumpa Dr. Ramli, Zuhal tidak percaya Dr. Ramli agak keliru dan berasa seperti telah ditipu.
Namun, dia meneruskan sesi itu selepas sempat melihat kelibat Nur di situ. Adakah Nur benar-benar wujud atau hanya khayalan Zuhal?
0 Comments