“Kesian. Hilang kwn, hilang deposit.”

Komen seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD) di ruang Facebook bekas Perdana Menteri, Najib Razak membuatkannya hilang jawatan termasuk gaji dan elaun.

Namun selepas 4 tahun, pegawai PTD yang membuat kenyataan ‘perlekeh’ Najib boleh menarik nafas lega kerana mendapat semula jawatannya.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk izin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Nazrul Imran Mohd Nor dikembalikan jawatannya.

Memetik laporan FMT, panel tiga hakim berkata pihak kerajaan gagal meyakinkan Mahkamah Persekutuan bahawa persoalan perundangan yang mahu dikemukakan adalah perkara baharu dan berkepentingan awam.

Nazrul akan kembali bekerja serta menerima tunggakan gaji dan elaun lain.

Ketika itu, Nazrul bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Malaysia di Manila. Dia didakwa berkata: “Kesian. Hilang kwn, hilang deposit,” pada 11 Jan 2017.

Susulan itu, dia yang bertugas sebagai PTD selama lapan tahun, diarahkan pulang ke Malaysia.

Kenyataan di Facebook bekas Perdana Menteri itu menyusul ucapan takziah Najib kepada keluarga Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Adenan Satem, atas kematiannya yang mengejut.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu mengeluarkan surat tunjuk sebab memecat Nazrul pada 13 Feb 2017 kerana melanggar Peraturan 19(1)(b) dan 4(2)(d) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Nazrul memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap SPA dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang ditolak pada Mei 2018.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada November lalu bagaimanapun mengarahkan SPA mengembalikan jawatan Nazrul kerana peraturan itu menyekat hak Perlembagaan Nazrul dan pemecatannya tidak wajar, tidak rasional dan hukumannya yang terlalu berat.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *