Renovate-Rumah
Hiasan

‘Renovate’ rumah atau ubah suai rumah pusaka boleh menimbulkan banyak masalah sehingga boleh menyebabkan konflik berpanjangan dalam kalangan waris. Ini berlaku sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

Dalam keadaan rumah yang pada mulanya ‘tidak bermaya’ mudah untuk mendapat persetujuan lisan daripada pewaris. Ia sama ada untuk mendiami rumahnya, malah untuk mengubahsuainya. Namun apabila puluhan ribu dihabiskan untuk ubah suai rumah pusaka dan kini berada dalam keadaan cantik, masalah lain pula timbul.

Perjanjian dan persetujuan mulut sebelum ini, telah tidak diambil kira dan masing-masing tanpa segan-segan menuntut hak masing-masing.

Seorang peguam, Salkukhairi menceritakan semula kes tuntutan sebuah rumah pusaka menerusi perkongsian di laman Facebook.

Menurutnya, seorang pemuda sudah mengeluarkan modal puluhan ribu ringgit untuk membaiki dan mencantikkan rumah pusaka peninggalan bapanya.

Namun, masalah timbul apabila salah seorang waris mahu menuntut semula haknya sedangkan sebelum ini semua waris telah bersetuju secara lisan mengizinkannya untuk tinggal di rumah pusaka tersebut.

Pentingnya persetujuan bertulis

Sebagaimana diterangkan peguam ini, terdapat cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul berdasarkan senario yang diceritakan.

1. Sepatutnya, sebelum membuat sebarang renovasi terhadap rumah pusaka dan bercadang untuk tinggal di rumah tersebut, dia perlulah mendapatkan persetujuan bertulis daripada semua waris.

2. Perlu ada satu perjanjian hitam putih yang sah antara penghuni rumah pusaka dengan semua waris yang menyatakan waris-waris membenarkan dia membaiki dan tinggal di rumah tersebut.

3. Bagaimanapun, waris tetap mempunyai hak terhadap pemilikan tanah dan rumah yang ada di atas tanah tersebut memandangkan nama semua waris masih lagi ada di dalam geran dan didaftarkan sebagai pemilik dari segi perundangan.

4. Perjanjian dan kebenaran yang diberikan tidak akan menjadikan waris-waris hilang hak mereka sepenuhnya sebagai pemilik terhadap tanah dan rumah tersebut termasuklah hak benefisial anda sendiri.

5. Oleh itu, jika seseorang itu benar-benar menginginkan rumah pusaka yang ditinggalkan oleh si mati, dia harus berbincang dengan waris-waris lain untuk memindahkan hak milik tanah tersebut kepadanya, sama ada melalui pertukaran ‘kasih sayang’ atau dengan jual beli.

6. Dengan cara atau pendekatan lebih selamat ini, hak dan kepentingan anda akan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.

7. Sekiranya situasi sama tetap berlaku selepas persetujuan bersama, tindakan undang-undang (saman) terhadap waris-waris boleh dilakukan.

8. Bagaimanapun, anda perlu membuktikan bahawa anda telah mendapatkan kebenaran bertulis daripada semua waris untuk membaiki dan tinggal di rumah pusaka tersebut.

9. Keputusan akhir bergantung kepada kebijaksanaan peguam kedua-dua belah pihak untuk berhujah di mahkamah dari segi undang-undang, sambil mengambil kira elemen-elemen ekuiti dan kontrak lisan yang wujud dalam kes ini.

10. Akhirnya, keputusan terletak pada hakim mahkamah yang bijaksana untuk membuat penghakiman.

Kata peguam itu lagi, masalah sedemikian hanya timbul apabila tiada persetujuan bertulis antara waris-waris dan hanya kebenaran lisan yang ada.

Namun, jika anda dapat mengemukakan saksi-saksi yang boleh dipercayai untuk menyokong tuntutan, mahkamah mungkin boleh mempertimbangkan perkara tersebut.

Oleh itu, lebih baik berhati-hati untuk ‘renovate’ rumah walaupun itu rumah pusaka supaya konflik tidak timbul pada masa akan datang.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *