
Rembayung guna sistem tempahan Grab, perkenal peraturan baharu untuk kekang scalper
Restoran Rembayung milik Khairul Aming kini beralih kepada aplikasi Grab untuk urusan tempahan meja. Langkah ini diperkenalkan bagi menangani masalah scalper, iaitu pihak yang membuat tempahan sebelum menjual semula slot kepada pelanggan lain.
Melalui kerjasama tersebut, proses tempahan dilaksanakan menerusi ciri Dine Out dalam aplikasi Grab. Sistem baharu ini diharapkan dapat mengurangkan kegiatan orang tengah serta memberikan peluang yang lebih adil kepada pelanggan untuk mendapatkan meja.
Tempahan terhad, tidak boleh dipindah milik
Setiap pengguna Grab yang disahkan hanya boleh membuat satu tempahan dalam tempoh dua minggu. Tempahan itu tidak boleh dipindahkan atau dijual kepada individu lain.
Penempah juga wajib hadir sendiri dengan membawa telefon yang digunakan ketika membuat tempahan. Sebelum masuk, kakitangan restoran akan menyemak pengesahan terus dalam aplikasi Grab. Tangkap layar atau gambar pengesahan tidak diterima.
Deposit sebanyak RM10 seorang dikenakan dan akan ditolak daripada bil makanan. Bagaimanapun, deposit tidak dikembalikan sekiranya tempahan dibatalkan atau pelanggan tidak hadir.
Langkah membuat tempahan
- Buka aplikasi Grab. Pilih menu Dine Out, tekan Book a Table dan cari Rembayung – Kampung Baru.
- Tetapkan jumlah pelanggan. Bayi dan kanak-kanak turut dikira. Setiap tempahan dihadkan kepada maksimum lapan orang.
- Pilih tarikh kunjungan. Rembayung beroperasi setiap hari kecuali Jumaat.
- Pilih jenis kunjungan dan waktu. Pelanggan boleh memilih makan di restoran (Dine In) atau bungkus (Take Away).
- Semak butiran dan keperluan khas. Gunakan ruangan Special Requests jika membawa warga emas bertongkat, pengguna kerusi roda atau bayi berkereta sorong yang menyukarkan pergerakan ke tingkat atas, supaya pengaturan meja bersesuaian dapat dibuat.
- Selesaikan bayaran deposit. Pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit atau kredit, FPX, GrabPay dan Apple Pay. Pengesahan akan dipaparkan dalam aplikasi.
Pilihan waktu Dine In ialah:
- 11 pagi hingga 12 tengah hari
- 2 petang hingga 2.30 petang
- 4.30 petang hingga 5.30 petang
- 8 malam hingga 9 malam
Bagi Take Away, slot disediakan pada waktu tengah hari dan petang.
Tempahan lama kekal sah
Pelanggan yang sudah menempah melalui sistem terdahulu, Umai, boleh hadir mengikut jadual asal. Penggunaan Grab terpakai kepada tempahan baharu.
Pelawat luar negara pula perlu menukar tetapan lokasi dalam aplikasi Grab kepada Malaysia sebelum mencari Rembayung dan meneruskan tempahan.







