Rayuan Malaysia ditolak, Ziyad Zolkefli minta maaf

1 min


Nasib yang tidak menyebelahi atlet lontar peluru negara Ziyad Zolkefli apabila terlepas pingat emas di Paralimpik Tokyo.

Ini kerana rayuan pihak kontinjen kebangsaan untuk mengesahkan pingat emas yang dimenangi ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi tadi.

Menurut laporan Astro Arena seperti dipetik FMT, keputusan itu membuatkan Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan seterusnya hanya boleh dilakukan selepas tamat temasya itu nanti.

Pembatalan pingat emas yang diperolehi Ziyad adalah susulan protes daripada atlet Ukrain selepas acara itu selesai bahawa beliau antara tiga individu yang lambat memasuki ‘call room’ sebelum acara bermula.

Ziyad juga memohon maaf menerusi akaun Instagram berikutan kontroversi penarikan pingat emas itu dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

“Saya mintak maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata, pasukan Malaysia masih membincangkan perkara itu dengan delegasi teknikal.

“Masih dalam perbincangan antara ‘technical delegate’ dengan tiga negara yang ‘counter protest’ Ukraine, iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador,” katanya.

Dalam pada itu, Atletik Para Dunia dalam kenyataan memaklumkan rayuan ketiga-tiga atlet dari Australia, Ecuador dan Malaysia yang bertanding dalam acara akhir lontar peluru F20 ditolak oleh Juri Rayuan Atletik Para Dunia.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 5.5 Peraturan Para Atlet Dunia, iaitu ‘kegagalan melapor ke bilik panggilan’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik panggilan pada waktu yang sesuai seperti yang disiarkan dalam jadual bilik panggilan, mereka akan dinyatakan dalam keputusan sebagai ‘Did Not Start’ (Tidak Bermula),” menurut kenyataan itu.

Pembatalan ini bermakna Ziyad tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Olimpik Rio 2016.

Ziyad sebelum ini mencipta rekod dunia dengan lontaran 16.84m di Rio sekali gus merangkul pingat emas dan kemudian memecahkan rekodnya sendiri setahun kemudian dengan lontaran 17.29m pada Kejohanan Atletik Para Dunia 2017 di London.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

.