Berita kematian Benjy Ibrahim turut dirasai oleh rakan-rakan artis lebih-lebih lagi mereka yang begitu rapat dengan arwah.
Memetik laporan BH Online, pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar begitu terasa atas pemergian teman baiknya itu. Dia amat bersedih kerana tidak dapat menghulur lebih bantuan kepada arwah untuk mengubati penyakit asma kronik yang dihidapi.
“Arwah Benjy beritahu saya keadaannya batuk hingga keluar darah. Jadi, saya mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan, cuma saya tidak dapat membantu sejak kebelakangan ini.
“Saya sedih, apatah lagi, memikirkannya arwah akan disemadi di Medan, Indonesia sekiranya meninggal dunia. Mendengar berita pemergiannya membuatkan hati saya remuk,” kata Elly.
Berhubung Dengan Benjy Minggu Lalu
Elly berkata arwah menghubunginya minggu lalu dan tidak menyangka perbualan itu menjadi yang terakhir.
“Arwah menghubungi saya, minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya.
Menurut Elly, dia juga telah berjanji dengan arwah akan menjemputnya apabila dibebaskan untuk memulakan kehidupan baru.
“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.
“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” katanya.
Tetap Bersama
“Ketika ramai rakan menjauhkan diri, saya tetap bersamanya. Arwah jenis setia dalam perhubungan dan persahabatan. Saya tidak mahu menilai kesilapan silamnya, tetapi saya tahu, arwah sangat bijak dan berbakat,” kata Elly lagi.
Tambah Ellie, arwah selalu menghubunginya, berkongsi luahan dan menyatakan kerinduan kepada keluarga. Dalam pada itu dia sentiasa memberikan kata semangat untuk arwah terus bersabar menghadapi 7 tahun lagi serta menasihati mendekatkan diri kepada Allah.
“Memang bunyinya agak lama, tetapi saya selalu katakan, ini adalah masanya untuk buat amal ibadah.
“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” katanya.
Allahyarham Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, jam 11 pagi tadi.
Aktor Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu sedang menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta atas kesalahan memiliki dadah sejak 2017.
0 Comments