Kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Isnin lalu mengejutkan dan menimbulkan persoalan kenapa boleh berlaku.
Siasatan awal mendapati ianya berpunca daripada kesilapan pemandu gerabak salah satu tren kerana memandu arah yang salah.
Kini enam orang kritikal, 64 terpaksa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Mereka yang bertanggungjawab bergegas ke tempat kejadian namun ada yang bersantai-santai dan ia mengundang kemarahan.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, terus ke tempat kejadian pada malamnya. Namun Pengerusi Prasarana Berhad yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, YB Tajuddin Abdul Rahman tidak kelihatan.
Susulan itu tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan terus berada dalam senarai sohor kini di Twitter. Gesaan supaya dia meletak jawatan terus marak apabila petisyen dalam talian turut dilancarkan.
Apabila ditanya tentang ketiadaannya, YB menjawab, dia terus datang pada pagi itu menunjukkan dia serius menghadapi kemalangan berkenaan sambil ketawa kecil seperti dilapor Malaysiakini.
Menurut YB, pada malamnya dia baru selesai bermesyuarat dan sedang bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.
Entahlah, macam mana YB bersiap untuk dicucuk kali kedua!
“Normal.. hanya dua tren bersama, saling bercium…” katanya yang kemudian ketawa kecil lagi apabila ditanya keadaan dalam terowong itu.
Namun kehadiran YB menarik perhatian juga. Selepas kata-kata YB menarik perhatian, selepas jam tangan PM mencuri perhatian, pelitup muka yang dipakai YB mengundang perhatian pengguna Twitter.
Pelitup muka YB memang berkelas, lalu netizen berusaha mencari maklumat. Seorang pengguna Twitter berkongsi tentang pelitup muka dipakai YB, ianya adalah produk di bawah rangkaian LG PuriCare yang hadir dengan tanda harga RM1,699 di laman Shopee.
Ianya unik dan bertanda harga premuim, menurut The Vocket kerana ianya berteknologi iaitu mempunyai teknologi pembersihan udara yang membolehkan YB menerima udara yang lebih bersih.
Tentulah.. bagi Pengerusi Prasarana layak untuk menggunakannya.
Sebelum itu YB kelihatan tidak memakai pelitup muka dalam sebuah sidang video baru-baru ini. YB Tajudin Abdul Rahman sedia disiasat tentang perkara itu.
0 Comments