Padah apabila membeli kereta melalui cara sambung bayar dan kini telah dianiaya pemilik asal. Kecoh video yang menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin kereta menggunakan batu. Seorang lelaki turut menggunakan besi untuk merosakkan kereta berkenaan.
Menerusi video yang dikongsi, turut kelihatan ejen penarik kenderaan sedang menunggu di hadapan rumah mereka.
Rupanya pembeli telah dianiaya pemilik asal. Bayaran telah dibuat tetapi pemilik asal tidak membuat bayaran kepada pihak bank.
Memetik laporan mStar, seorang pengguna Facebook, Rasis Jalil menjelaskan individu dalam video tular itu didakwa dianiaya oleh pemilik kereta yang sebenar.
“Dikatakan kereta ni (jual beli) sambung bayar. Keluarga ni dah bayar secara bulanan tapi pemilik asal tak bayar kepada bank.
“Puas dah pesan jangan beli kereta sambung bayar,” tulisnya.
Rasis Jalil berkongsi video itu ke laman Facebook pada Selasa.
Di ruangan komen, seorang individu dikenali sebagai Luqman Hakim turut memperkatakan hal sama, mendakwa keluarga itu dianiaya pemilik asal kereta berkenaan.
“Cerita dia, keluarga ni beli kereta sambung bayar. Bulan-bulan bayar penuh dekat pemilik, tapi pemilik tak bayar dekat bank. Dah tunggak sampai lapan bulan.
“Ketika keluarga ni beli, siap bayar deposit. Jadi apabila dapat tahu (ansuran) kereta tak dibayar kepada bank sedangkan keluarga ni dah bayar pada pemilik, mereka rosakkan kereta tu.
“Kira macam rugi la mereka bayar deposit kereta dan bayar bulan-bulan sebab akhirnya kena tarik,” tulis Luqman Hakim.
Seorang lagi pengguna Facebook dikenali sebagai Wan Firdaus berkata kejadian itu pastinya akan menyusahkan pemilik asal kereta berkenaan.
“Dia berjaya susahkan hidup pemilik asal. Sebab kereta ni sambung bayar. Lagi jatuh nilai kereta tu, lagi banyak (kerugian) pemilik asal kena tanggung.
“Dia (individu dalam video) lepas (geram) sebab tak ada dalam geran dan pinjaman bank bukan nama dia,” tulis Wan Firdaus pula.
Di sebalik penjelasan itu, ramai netizen turut mengecam tindakan ganas yang dipamerkan dalam video tular berkenaan.
Bagi mereka yang ingin membeli kereta sambung bayar, beringatlah kerana pelbagai perkara boleh berlaku.
0 Comments