Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Sajat, 36, telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di sebuah kondominium mewah di Bangkok. Ketika ditahan Sajat bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand.
Penahanannya dilakukan setelah pihak berkuasa imigresen mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand setelah usahawan berkenaan lolos ke negara berkenaan pada awal Mac lalu.
Usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand. Pada 4 Jun lalu, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyiannya iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
Selepas risikan dan intipan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan dan Nur Sajat telah ditahan. Pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia
Dia kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen.
Pada 9 September, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Bagaimanapun dia dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” kata sumber.
Kini Sajat dikatakan masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.
“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.
Pihak berkuasa Malaysia juga dilapor sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.
Nur Sajat menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018.
“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” kata sumber itu lagi.
0 Comments