
Menggerunkan! Itulah yang boleh diperkatakan dengan peningkatan kes Covid-19 di negara kita. Ini kerana Malaysia juga tersenarai antara 19 negara yang berpotensi menerima padah ‘kehancuran total’ sistem kesihatan.
Ia berpunca kerana kekurangan oksigen yang teruk akibat peningkatan mendadak kes Covid-19.
Data yang disediakan oleh Every Breath Counts Coalition, NGO Path dan Clinton Health Access Initiative (CHAI) dianalisis The Bureau of Investigative Journalism. Analisis itu menyenaraikan negara-negara yang paling berisiko kerana kehabisan oksigen.
Menurut laporan yang disiarkan The Guardian, 19 negara di seluruh dunia termasuk India, Argentina, Iran, Nepal, Filipina, Malaysia, Pakistan, Costa Rica, Ecuador dan Afrika Selatan dianggap paling berisiko setelah mencatat peningkatan permintaan yang besar sejak Mac. Peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus walaupun telah melakukan vaksinasi kurang dari 20 peratus populasi mereka.
Negara-negara Asia lain seperti Laos serta negara-negara Afrika termasuk Nigeria, Ethiopia, Malawi dan Zimbabwe juga membimbangkan kerana sistem penyampaian oksigen yang kurang matang.
Menurut Leith Greenslade, koordinator Every Breath Counts Coalition, sebilangan besar negara ini menghadapi kekurangan oksigen sebelum wabak itu lagi yang boleh mendorong kehancuran sistem kesihatan.
Robert Matiru, Pengerusi Covid-19 Oxygen Emergency Taskforce, mengatakan kepada biro, “kami dapat melihat keruntuhan total sistem kesihatan, terutama di negara-negara dengan sistem yang sangat rapuh.”
India yang menghadapi gelombang kedua menghadapi kekurangan oksigen paling ketara. Pada pertengahan Mei, mereka memerlukan tambahan 15.5 meter padu oksigen sehari hanya untuk pesakit Covid-19. Penigkatan lebih daripada 14 kali ganda daripada yang diperlukannya pada bulan Mac.
Susulan itu India telah melarang semua eksport oksigen cecair dan silinder. Ini membimbangkan jiran India seperti Pakistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Myanmar. Ini kerana mereka bergantung kepada oksigen dan peralatan buatan India.
Analisis itu juga menunjukkan negara Nepal memerlukan lebih dari 100 kali lebih banyak bekalan oksigen daripada apa yang diperlukan Mac lalu. Keperluan oksigen Sri Lanka meningkat 7 kali ganda sejak pertengahan Mac.
Data Gasworld Business Intelligence juga menunjukkan bahawa banyak negara yang memerlukan paling banyak oksigen masih mengalami kekurangan walaupun semua pengeluaran oksigen tempatan diarahkan ke hospital.
Syarikat gas di Iraq menghasilkan kira-kira 64,000 meter padu oksigen cair sehari namun ia adalah sepertiga dari yang diperlukan oleh pesakit Covid-19 negara itu.
Manakala di Colombia, industri ini hanya dapat menyediakan 450,000 meter padu sehari, kurang dari dua pertiga dari yang diperlukan.
Syarikat gas di negara Peru hanya dapat mencapai 80% oksigen yang diperlukannya jika semua oksigen dialihkan ke perawatan kesihatan.
“Ia memberi tekanan kepada sistem kesihatan, kerana permintaan tidak dapat dipenuhi, dan kita melihat kematian pesakit,” kata Greenslade.
0 Comments