Kini musim durian, walaupun banyak ramai yang tidak dapat merasainya, apatah lagi hendak merasai durian musang king. Ini kerana harganya tetap mahal sehingga digelar harga ‘Yahudi’.
Memetik laporan Malaysia Dateline, Nasuha Rahman menulis dia berkesempatan merasa durian segar sehingga menghabiskan RM200, makan sampai lebam dan dapat buat pulut durian lagi.
Harga durian kampung fresh dari ladang di Kuala Krai yang dinikmati adalah buah segar, lemak manis, isi kuning berkilat RM8 sekilo. Manakala durian ioi atau mas muar (panggilan orang kampung) berharga RM15 sekilo.
Dia juga menemui Pok Nik yang merupakan seorang pesara polis untuk menikmati durian musang king sehingga masing-masing dia dan suami dapat menghabis 2 biji seorang.
Pok Nik memiliki 8 pokok durian musang king yang diwarisi. Harga durian itu atau orang kampung memanggilnya sebagai durian kunyit di kebun berharga RM50 sekilo.
Pajak 5 Pokok Durian Musang King
Pok Nik mengurus sendiri 3 pokok musang king dan memajak 5 pokok kepada pemajak dengan harga RM9,000. Pemajak adalah seorang guru dan harga pajakan dikira ketika buah mula kelihatan.
Menurut Pok Nik, dengan memberi pajakan buah durian akan sentiasa terjaga kerana pemajak mempunyai kelengkapan dan dia tidak mempunyai modal menguruskannya.
“Kita tidak ada modal, nak jaga buah durian mahal ni perlu keluar modal banyak supaya buah kita cantik, isi molek. Kualiti terjaga, ramai yang nak beli buah durian kita,” katanya.
Tahun sebelumnya Pok Nik tidak memberi pajakan hingga kerugian kerana daripada 70 biji buah hanya 7 biji sahaja yang elok. Buah yang lain ditebuk tupai, jatuh ke tanah sehingga lebam dan ada yang dimakan babi.
Kata Pok Nik dia rugi RM3,500 jika buahnya berharga RM30 sebiji.
“Bila buah rosak orang hanya ambil murah bawah RM30 sekilo. Daripada banyak buah yang rosak, lebih baik kita serah pada pemajak mereka ada serba serbi kelengkapan,” katanya.
Sebab Durian Musang King Mahal
Kenapa durian musang king menjadi mahal? Ia adalah kerana persedian menjaga buah. Kos membina pondok, jaring atau pukat, upah penembak tupai, upah pengutip buah semua ditanggung oleh pemajak.
Kos ini sahaja mencecah ribuan ringgit, kos membeli peluru sehingga 300 biji untuk menembak tupai dan babi.
Kata Pok Nik sekiranya tidak buat pajakan, dia mampu meraih hasil jualan untuk 5 pokok durian king boleh mencecah RM30,000. Itu dikira berdasarkan anggaran buah dalam 300 biji dan dapat dijual dengan harga RM100 sebiji.
Namun Pok Nik masih ada 3 pokok durian king untuk kaum keluarga dan sanak saudara serta dapat dijual sendiri.
0 Comments