Beberapa saat sebelum maut ditembak dari belakang pada Jumaat, bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sedang melakukan apa yang telah dilakukannya selama beberapa dekad dalam politik – mendekati orang ramai dan membuat ucapan politik.

Keadaan pagi itu biasa sahaja di Jepun, di mana jenayah keganasan jarang berlaku dan senjata api juga terhad. Kawalan keselamatan tidak begitu ketat ketika Abe memberi ucapan di luar Stesen Yamato-Saidaiji, di bandar Nara.

Tiada sekatan jalan raya dibuat. Sebuah bas dan van dilihat melintasi belakang Abe. Di dalam sebuah kereta, seorang penumpang melambai ke arah Abe, tanda teruja melihat perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat itu.

Dengan memakai jaket gelap, Abe bersemangat memberi ucapan di hadapan khalayak supaya memilih semula Kei Sato, calon dalam pilihan raya dewan atasan yang akan berlangsung pada Ahad. Beberapa orang awam dilihat merakam gambar menggunakan telefon.

Anggota polis khas, yang setara dengan perkhidmatan rahsia Jepun, berdiri di sebelah kanan dan di belakang Abe ketika beliau mengingatkan orang ramai tentang bagaimana Sato mengawal situasi semasa pandemik.

“Beliau tidak mencari alasan untuk tidak melakukan sesuatu,” kata Abe.

Di belakangnya, seorang lelaki memakai kemeja-t berwarna kelabu dan seluar berwarna kuning, melangkah dan melepaskan tembakan menggunakan apa yang disahkan polis sebagai pistol buatan sendiri, sekali gus menyaksikan kepulan asap putih memenuhi ruang.

Untuk seketika, Abe kelihatan baik-baik sahaja. Lelaki yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, seorang bekas anggota pasukan pertahanan diri maritim Jepun berusia 41 tahun, kemudiannya melepaskan tembakan sekali lagi.

“Dia muncul entah dari mana, tiba-tiba berada di tengah jalan sambil memegang pistol”, kata saksi, ahli perniagaan Makoto Ichikawa, kepada Reuters.

“Semasa tembakan pertama, tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku,” sambung Ichikawa.

Selepas tembakan kedua, polis menjatuhkan Yamagami yang lengkap memakai pelitup muka.

Terdapat jeda masa selama 10 hingga 20 saat sebelum polis berjaya mengawal dan menghentikan Yamagami, kata seorang lagi saksi, Takenobu Nakajima.

Ketika itu, Abe, 67, sudah terbaring di atas tanah. Rakaman media menunjukkan darah membasahi baju putihnya.

Dalam situasi kelam kabut, Ken Namikawa, Datuk Bandar Tenri di Nara, menggunakan mikrofon bertanyakan jika ada doktor atau jururawat dalam kalangan orang ramai di situ.

Seorang jururawat datang berlari dan memulakan rawatan kecemasan.

Doktor mengesahkan Abe meninggal dunia akibat luka dalam pada jantung dan bahagian kanan lehernya, walaupun menerima lebih 100 unit darah dalam pemindahan selama empat jam.

Ichikawa berkata dia terkejut dengan wajah Yamagami ketika dia melepaskan tembakan ke arah bekas perdana menteri itu.
“Wajahnya nampak biasa, ekpresi yang normal,” katanya. – Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here