
Kes kehilangan pelakon Malaysia, Nadia Kesuma, 50 yang mencetuskan kebimbangan keluarga dan orang ramai apabila beliau dilaporkan hilang secara misteri di Jeddah, Arab Saudi, ketika dalam perjalanan menunaikan ibadah umrah.
Insiden yang bermula sebagai ‘hilang’ itu berakhir dengan pengesahan menyedihkan apabila beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Memetik laporan Astro Awani, berikut ialah kronologi lengkap kes Nadia Kesuma bermula dengan perkembangan 14 Januari sehingga ke hari ini.
Kronologi Kehilangan Nadia Kesuma
14 Januari 2026 – Berlepas dari Malaysia
- Nadia Kesuma menyertai rombongan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan bersama 21 jemaah lain bagi tempoh perjalanan dari 14 hingga 28 Januari 2026.
- Pelakon itu dijadualkan meneruskan penerbangan ke London selepas transit selama beberapa jam di Jeddah, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.
15 Januari 2026 – Tiba di Jeddah dan gagal dikesan
- Nadia Kesuma dilaporkan gagal dihubungi oleh ahli keluarga selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah sekitar jam 12.30 tengah malam.
- Beliau tidak menjawab panggilan atau membalas sebarang mesej selepas disahkan tidak menaiki penerbangan sambungan dari Jeddah.
- Suami Nadia Kesuma menerima panggilan daripada pihak agensi pelancongan yang memaklumkan pelakon itu tidak berada dalam penerbangan seterusnya.
- Agensi pelancongan dan mutawwif turut menghantar mesej memaklumkan perkara sama, namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada Nadia.
- Anak Nadia Kesuma menggunakan aplikasi penjejak telefon yang menunjukkan peranti ibunya masih berada di kawasan lapangan terbang Jeddah, namun bateri telefon semakin lemah.
16 Januari 2026 – Laporan polis dibuat
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan kehilangan Nadia Kesuma daripada ahli keluarganya. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA sekitar jam 12.26 tengah hari.
- Agensi pelancongan, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel), dalam satu kenyataan memaklumkan kehilangan Nadia disedari apabila beliau gagal menaiki penerbangan sambungan dari Jeddah ke London semasa transit.
- Pihak Nuh Travel segera mengaktifkan tindakan kecemasan dengan melaksanakan usaha pencarian secara menyeluruh.
- Pasukan petugas Nuh Travel turun sendiri ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang, Muasasah serta Konsulat Malaysia di Jeddah bagi menjejaki keberadaan Nadia.
- Nuh Travel turut memaklumkan laporan polis dibuat di Jeddah bagi membolehkan pencarian dan siasatan dijalankan melalui saluran perundangan tempatan.
- Agensi itu menegaskan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan termasuk aspek keselamatan dan operasi lapangan terbang bagi memastikan proses pengesanan dapat dilakukan secara teratur dan berkesan.
17 Januari 2026 – Siasatan pihak berkuasa Arab Saudi
- Suami Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, merayu kerajaan Malaysia agar segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.
- Ahli keluarga pelakon itu membuat laporan rasmi kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah.
- Suami Nadia Kesuma dinasihatkan supaya kekal berada di Malaysia bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan, selain mengambil kira kekangan bahasa kerana beliau tidak fasih berbahasa Arab.
- Kehilangan Nadia Kesuma dilaporkan kepada pihak polis Arab Saudi. Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman, mengesahkan laporan tersebut diterima dan pihaknya kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Arab Saudi.
18 Januari 2026 – Disahkan meninggal dunia
- Hari ini, suami Nadia Kesuma mengesahkan bahawa pelakon tersebut sebenarnya telah meninggal dunia pada 15 Januari 2026, hari yang sama beliau dilaporkan hilang.
- Menurut kenyataan keluarga, Nadia mengalami serangan jantung dan telah dibawa ke hospital di Jeddah, namun disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8.07 pagi waktu tempatan.
Urusan Jenazah dan Keputusan Pengebumian
Keluarga memaklumkan bahawa jenazah Nadia Kesuma akan dikebumikan di Jeddah, selaras dengan hasrat arwah.
Suami dan anak beliau kini berada di Arab Saudi bagi menguruskan urusan pengebumian dengan bantuan pihak konsulat Malaysia.
Berita pemergian Nadia Kesuma mengundang ucapan takziah daripada rakan selebriti, peminat dan orang ramai.
Keluarga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang tempoh kehilangan dan siasatan dijalankan.

0 Comments