Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai pakej umrah ialah pada RM6,900 bagi tempoh 12 hari dan 10 malam. Ia meningkat sebanyak RM2,000 kerana harga lantai yang ditetapkan pada 2016 adalah pada paras harga RM4,900.
Menurut kenyataan MOTAC, kadar baharu itu ditetapkan selepas perbincangan dengan persatuan khidmat pelancongan dan umrah sebelum ini. Ia turut mengambil kira perkembangan semasa termasuk peningkatan kos susulan pelaksanaan SOP oleh kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
MOTAC berkata antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50% daripada jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.
Bagaimapun harga lantai yang ditetapkan akan disemak semula apabila wabak Covid-19 berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi.
Harga lantai yang ditetapkan adalah panduan untuk kementerian melakukan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.
MOTAC turut mengingatkan bakal jemaah supaya berhati-hati sekiranya harga pakej umrah ditawarkan terlalu rendah atau terlalu rendah bagi mengelakkan berlakunya penipuan.
Setakat ini terdapat 444 syarikat pengendali pakej umrah berlesen berdaftar dengan MOTAC.
0 Comments