Hanya kerja part time namun mampu raih RM10,000 sebulan

2 min


Kerja Dari Rumah, Kerja Online di Rumah

Hendak seribu daya, tak hendak beribu dalih. Namun berbeza dengan suri rumah ini yang melakukan kerja ‘part time’ dan mampu meraihkan pendapatan sehingga RM10,000 sebulan. Apakah pekerjaannya, ikuti laporan SH berikut;

Status sebagai suri rumah bukan halangan buat Nur Atikah Halim Bashah, 32, melakukan kerja sambilan sebagai penterjemah bahasa untuk pelanggan dari luar negara.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia menawarkan perkhidmatan tersebut sejak 2015 selepas berhenti kerja di sebuah pusat sains pada awal usia perkahwinannya.

“Saya cari kerja yang boleh dilakukan dari rumah. Langkah pertama saya sertai kursus penterjemahan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) secara dalam talian.

“Itulah titik permulaan dan peluang pertama, saya terima tawaran kerja daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaupun bayaran tak banyak tetapi beri keyakinan untuk saya terus serius.

“Kini sudah hampir 10 tahun saya buat kerja ini. Pendapatan bulanan dalam lingkungan RM6,000 hingga RM7,000. Malah, pada bulan tertentu boleh mencecah lebih RM10,000,” katanya kepada Sinar Ahad.

Ujar anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, selain pelanggan di Malaysia, khidmat terjemahan bahasa yang ditawarkan turut menerima permintaan dari Brunei, Australia dan Singapura.

Menurut Atikah, berurusan dengan pelanggan dari luar negara bukanlah mudah, namun bayaran setimpal diterimanya menjadikan usaha tersebut berbaloi.

“Pada awalnya agak sukar terutama isu perbezaan zon waktu dan kadangkala saya perlu bekerja pada hujung minggu, cuti umum atau ketika hari raya. Jika pelanggan minta terjemahan disiapkan pada hari tersebut, saya perlu memenuhinya.

“Tetapi bayaran mereka lebih tinggi, mungkin kerana kadar pertukaran mata wang yang lebih tinggi.

“Saya fokus kepada penterjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Biasanya pelanggan luar negara memerlukan khidmat penterjemahan apabila mereka mahu memasarkan produk di pasaran Malaysia,” jelasnya.

Atikah juga tidak menafikan berdepan cabaran tersendiri melakukan kerja dari rumah memandangkan dia mempunyai tiga anak yang masih kecil.

Tempahan grafik menjadi pilihan

Meskipun bergelar suri rumah sepenuh masa, namun kemahiran yang ada tidak disia-siakan, sebaliknya dijadikan modal untuk menjana pendapatan.

Nursyuhada Abdullah, 29, yang merupakan ibu kepada dua anak berkata, dia memulakan pernia-gaan produk digital secara kecil-kecilan dengan menawarkan perkhidmatan tempahan untuk poster, pelekat dan sepanduk.

“Setakat ini alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Anggaran pendapatan tertinggi kira-kira RM650 sebulan.

“Setiap tempahan grafik atau reka bentuk dalam RM200, bergantung kepada saiz dan kuantiti tetapi jika guna kertas lebih berkualiti, lain harga.

“Biasanya saya caj RM55 bagi poster dan RM33 untuk pelekat tidak termasuk kos cetak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Jelas Nursyuhada, bekerja dari rumah dan pada masa sama perlu menguruskan suami serta anak kecil akan lebih mencabar sekiranya pelanggan meminta untuk mengubah sebarang reka bentuk serta-merta.

“Apabila berdepan situasi seperti itu, saya perlu berhenti buat kerja rumah dan segera buka komputer untuk siapkan permintaan pelanggan,” ujarnya.

Nursyuhada turut berpandangan, mana-mana wanita terutama suri rumah tidak boleh menjadikan anak-anak sebagai alasan untuk berhenti melakukan sesuatu yang boleh menambah pendapatan.

“Sebaliknya, jadikan anak-anak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi untuk terus berusaha,” katanya. – Sinar Harian

Antara kerja ‘part time’ yang membolehkan seseorang meraih pendapatan yang agak lumayan. Pilihan di tangan anda, intailah peluang yang bersesuaian, insyaallah kejayaan menjadi milik anda.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

.