Semalam tular video berdurasi 45 saat di aplikasi WhatsApp aksi dua pegawai JPJ-Jabatan Pengangkutan Jalan memukul pengguna jalan raya.
Video itu menunjukkan dua pegawai itu keluar dari kenderaan JPJ dan telah bertindak agresif memukul seorang penunggang motosikal di kawasan longkang berumput di tepi jalan raya.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 10.30 pagi di Kilometer 23 Jalan Lahad Datu-Sandakan.
Suspek yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan telah ditahan selepas didakwa menghalang penjawat awam JPJ melakukan tugas.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, suspek merupakan seorang lelaki warga Indonesia yang berusia 20 tahun telah didakwa cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya yang dilakukan JPJ.
Melalui kenyataan itu, suspek yang menaiki motosikal semasa sekatan jalan raya dilakukan oleh JPJ. Apabila sampai ke kawasan tersebut, suspek berpatah balik kerana dipercayai cuba melarikan diri serta cuba merempuh pegawai bertugas.
Cuba Lari dari Sekatan Jalan Raya
Menurut JPJ lagi, usaha suspek gagal apabila motosikalnya bergesel dengan kenderaan milik JPJ menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang.
Seterusnya suspek dikatakan bertindak agresif sebelum berjaya ditahan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak JPJ, mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan lesen menunggang motosikal yang sah.
Kini suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
Suspek juga akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini secara haram.
Video Mendapat Perhatian Ramai
Video tular itu mendapat perhatian ramai apabila kelihatan pegawai berkenaan dikatakan bertindak kasar memukul penunggang motosikal.
Video itu menunjukkan dua pegawai berkenaan keluar dari kenderaan JPJ yang melintang di tengah jalan raya menuju ke arah suspek. Salah seorang pegawai berkenaan dilihat memukul penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkannya jatuh terduduk.
Susulan itu, Ibu Pejabat JPJ berkata, pihak Pengurusan Tertinggi JPJ memandang serius isu berkaitan integriti. Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang melakukan kesalahan tingkah laku.
Menurut jabatan itu, tindakan tatatertib lebih tegas boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah melanggar perundangan negara dan jabatan.
0 Comments