– Gambar FB

Seorang rakan kepada Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penularan gambar bekas perdana menteri itu bersama seorang wanita yang memeluk lengan kirinya.

Individu itu yang merupakan rakan akrab keluarga Najib dan Rosmah membuat laporan di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, petang semalam.

Kata individu enggan dikenali itu, Najib dan Rosmah digambarkan “sangat terkejut” ketika ditunjukkan gambar berkenaan, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Saya telah menunjukkan gambar dan kapsyen kepada Najib dan Rosmah di mana kedua-dua mereka sangat terkejut memandangkan ia tidak benar sebelum meminta bantuan saya membuat laporan kepada SKMM bagi tindakan selanjutnya.

“Saya membuat laporan ini bagi pihak Najib dan Rosmah, dan seperti yang mereka minta, mereka memohon satu siasatan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan diedit dan kapsyen terbabit tidak benar.

“Saya juga memohon tindakan diambil terhadap pihak berkaitan dari sudut undang-undang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sejak semalam, tular sekeping gambar menunjukkan seolah-olah Najib dalam satu majlis di premis persendirian dengan seorang wanita yang memeluk erat lengan kirinya dan diapit empat individu lain.

Identiti wanita terbabit menjadi tanda tanya dalam kalangan warganet, di mana beliau kelihatan tersenyum dan mesra berada di sebelah Najib, sehingga ada yang mengatakan wanita misteri itu isteri baharunya.

Sementara itu, jurucakap SKMM ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan, semalam.

Sumber – FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here