Inti pati Belanjawan 2025

4 min


Belanjawan 2025Inti pati Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024. Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. Berikut adalah inti pati Belanjawan 2025;

  • Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperluaskan bermula 1 Mei 2025. Tertumpu kepada barangan import premium seperti salmon dan avokado.
  • Cukai dividen 2 peratus akan dikenakan ke atas individu bagi dividen yang melebihi RM100,000, bermula taksiran cukai 2025. Pengecualian bagi simpanan KWSP, amanah saham PNB dan dividen dari luar negara.
  • Penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
  • Yuran bagi anak-anak T15 yang belajar di sekolah berasrama penuh kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta di institusi pengajian tinggi awam dinaikkan.
  • Geran khas kepada Sabah dan Sarawak akan dinaikkan kepada RM600 juta setahun mulai 2025.
  • Kerajaan berikrar orang ramai tidak lagi perlu beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
  • RM1 bilion diperuntukkan untuk program pemerkasaan komuniti. RM600 juta untuk memperbaiki ekonomi luar bandar di kampung, bandar, kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli, RM200 juta untuk memperluaskan program Kampung Angkat Madani dan RM100 juta untuk program sosioekonomi di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
  • RM150 juta peruntukan segera dalam usaha menangani banjir kilat di ibu negara dan bandar-bandar lain untuk membersihkan longkang dan mendalamkan sungai.
  • RM600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk persediaan menghadapi banjir, termasuk RM300 juta yang telah diperuntukkan.
  • RM250 juta untuk membaiki cerun di seluruh negara.
  • RM21 juta untuk menangani lubang benam di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis.
  • RM10 juta untuk kajian geoteknikal mengenai struktur tanah di jalan-jalan utama, terutamanya di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
  • RM600 juta untuk memulihkan dan meningkatkan nilai bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara termasuk pembinaan jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dan Carcosa Seri Negara.
  • RM110 juta untuk menyokong destinasi ekopelancongan seperti Taman Negara Endau Rompin, Pulau Redang, dan Pantai Tusan.
  • Perodua akan meluncurkan kenderaan elektrik (EV) yang berharga kurang daripada RM100,000 pada tahun depan.
  • Insentif RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik juga akan dilanjutkan tahun depan.
  • Program Net Energy Metering (NEM) untuk pemasangan panel solar akan dilanjutkan hingga 30 Jun tahun depan.
  • RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Ini termasuk RM3.2 bilion untuk orang kurang upaya, RM130 juta untuk masyarakat India, dan RM5 bilion untuk PKS Bumiputera.
  • Mara dan PUNB juga akan memperuntukkan RM800 juta pembiayaan untuk usahawan bumiputera.
  • RM1.3 bilion peruntukan kepada kontraktor G1-G4 khususnya dalam kalangan bumiputera.
  • Gabungan kuantum untuk Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara) meningkat kepada RM4,700 tahun depan.
  • 4.1 juta isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan mulai April tahun depan.
  • Individu bujang akan menerima RM600 dalam STR.
  • KWSP sedang meneliti kaedah pemindahan simpanan antara waris. Semua pekerja asingdiwajibkan menjadi pencarum KWSP.
  • Pelepasan cukai ke atas premium untuk skim persaraan swasta juga dilanjutkan kepada 2030.
  • RM2 bilion untuk bantuan makanan kepada pelajar di sekolah asrama.
  • RM870 juta untuk Program Makanan Tambahan (RMT) yang akan memberi manfaat kepada 860,000 pelajar.
  • Bantuan Persekolahan Awal untuk semua pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan 5 – tanpa mengira latar belakang ibu bapa – juga akan diteruskan tahun depan.
  • RM4 bilion diperuntukkan untuk biasiswa.
  • GLIC dan GLC komited untuk memastikan 50 peratus biasiswa diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
  • Pelepasan cukai bagi ibu bapa yang menyumbang kepada SSPN juga akan dilanjutkan untuk tiga tahun lagi.
  • RM635 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan pembaikan di universiti awam, serta memperluaskan akses internet.
  • RM20 juta akan diperuntukkan kepada UiTM untuk melatih lebih ramai jurutera elektrik dan elektronik.
  • RM50 juta akan diperuntukkan untuk penyelidikan AI di semua universiti awam.
  • Pengurusan hospital awam digesa meningkatkan kemudahan dan tandas mereka, pengurusan seharusnya membiayai usaha tersebut dengan sebahagian daripada RM45.3 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.
  • Duti eksais ke atas minuman bergula akan meningkat secara berperingkat, bermula dengan kenaikan 40 sen pada 1 Januari tahun depan.
  • Penjawat awam, pesara berusia lebih 65 tahun, yang sudah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) boleh terus mendapatkan rawatan.
  • RM200 juta diperuntukkan untuk membaiki lif yang rosak di perumahan awam kos rendah.
  • RM100 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf 48 taman awam Madani.
  • RM84 juta untuk menaik taraf kemudahan dan keperluan komuniti kampung-kampung baru Cina.
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diamanahkan untuk menangani keperluan kampung India.
  • Pemilik rumah kali pertama akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM7,000 ke atas pembayaran faedah, untuk rumah yang berharga di bawah RM500,000.
  • Pemilik rumah yang berharga lebih RM500,000 hingga RM750,000, pula akan menerima pelepasan cukai sebanyak RM5,000.
  • Tambang percuma pelajar IPT guna BAS.my.
  • Prasarana akan menyediakan van transit untuk mengangkut pelajar sekolah dari stesen kereta api ke sekolah dengan tambang 50 sen untuk satu perjalanan.
  • Program perintis untuk Khidmat Negara 3.0 akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
  • Pengecualian cukai rawatan kanak-kanak autisme dinaikkan kepada RM6,000 daripada RM4,000.
  • RM15 juta untuk membantu yuran sekolah bagi kanak-kanak autisme.
  • Pengecualian cukai peribadi diperluas merangkumi vaksinasi, peralatan sukan untuk ibu bapa dan rawatan perubatan untuk datuk nenek.
  • Potongan cukai untuk majikan yang memberikan elaun penjagaan kanak-kanak juga akan diperluas untuk merangkumi penjagaan orang tua.
  • Pengecualian cukai tambahan bagi orang kurang upaya dinaikkan kepada RM7,000.
  • Pengecualian cukai bagi pasangan kurang upaya meningkat kepada RM6,000.
  • Pengecualian cukai bagi tanggungan kurang upaya yang tidak berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.
  • Elaun khas RM500 penjawat awam gred 56 ke bawah, pesara akan menerima RM250.
  • Elaun panggilan untuk doktor dalam perkhidmatan awam dinaikkan kepada RM65 sejam dari RM55 sejam.

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

.