Cepat KayaMacam-macam.. doktor pun boleh tertipu kerana ingin cepat kaya. Kisah yang terkenal dalam The Arabian Nights dengan ‘jin’ popular dalam lampu ajaib kini di ‘dunia nyata’.

Inilah yang berlaku kepada seorang doktor di Meerut, Uttar Pradesh, India kerana telah diperdaya sebanyak AS$41,500 (RM172,349) untuk membeli lampu ajaib Aladdin yang dapat mengeluarkan jin untuk memenuhi segala permintaan termasuk kekayaan, kesihatan dan nasib yang baik.

Memetik laporan Oddity Central, 30 Oktober lalu, penipuan itu bermula apabila seorang doktor bernama Laeek Khan yang menemui seorang pesakit bernama Sameena di rumahnya untuk merawat  luka selepas pembedahan.

Ketika berada di rumah pesakit, dia bertemu dengan Islamuddin yang kemudiannya mengaku memiliki kekuatan ilmu sihir serta dapat berkomunikasi dengan jin.

Islamuddin menyatakan bahawa dia dapat menjadikan Khan kaya-raya melalui jin yang keluar dari lampu Aladdin yang dimiliki dan dapat menunaikan segala jenis permintaan kepada pemiliknya.

Beberapa ketika kemudian, Islamuddin turut memperkenalkan Khan kepada Anees. Islamuddin dan Anees kemudian menawarkan kepada Khan lampu Aladdin itu dengan harga AS$41,500.

Selepas perbincangan, Khan kemudian bersetuju untuk membelinya. Mereka bertiga membuat perjanjian bahawa Khan hanya boleh menyentuh lampu itu setelah selesai bayaran sepenuh dilunaskan.

Setelah membuat bayaran yang cukup, Khan ingin memiliki lampu Aladdin tetapi segera ditolak oleh Islamuddin.

Islamuddin mahukan bayaran tambahan berjumlah lebih AS$200,000 (RM830,600). Khan berulang kali meminta untuk mendapatkan lampu itu, tetapi Islamuddin dan Anees terus menolaknya.

Setelah berterusan ditolak, Khan akhirnya menyedari bahawa dia telah ditipu dan membuat laporan kepada pihak polis. Dalam laporan dia menyatakan bahawa pada mulanya Islamuddin dan Anees begitu meyakinkan dan dia hanya mempercayainya.

Akhirnya Islamuddin dan Anees ditangkap pihak polis dan lampu “sihir” itu juga disita.

Polis juga cuba menggosok lampu itu dan sememangnya tidak ada jin yang keluar. Polis kini sedang memburu Sameena, yang merupakan isteri Islamuddin.

Aladdin merupakan salah satu kisah paling terkenal yang terdapat dalam himpunan prosa Hikayat Seribu Satu Malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here