Gred SSPA – Gred Baharu Kod 1-15

2 min


SSPAGred SSPA ialah gred Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan gred Sistem Saraan Malaysia (SSM). Melalui penyeragaman dan penggelaran semula gred ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merombak secara menyeluruh gred perjawatan awam menjadi hanya 15 gred berbanding 36 gred SSM sebelum ini. Gred ini akan berkuat kuasa 1 Disember 2024 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Malaysia.

Penjawat awam diberi pilihan sama ada kekal bersama SSM atau beralih kepada SSPA. Pilihan boleh dibuat dalam tempoh 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November 2024.

Penjawat awam yang beralih kepada SSPA akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji sebanyak 7 peratus.

Mereka yang bersama SSM akan kekal dengan skim gaji sebelum ini.

Gred SSPA

Penyeragaman dan penggelaran semula menjadikan gred baharu dalam SSPA, iaitu Gred 1-15.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024, penyeragaman ini juga sebagai usaha menangani isu ketidaksamaan antara skim perkhidmatan di bawah SSM sebelum ini.

Pekeliling itu memaklumkan gred jawatan SSM 19 dan 20 dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditukarkan ke gred SSPA 1; Gred SSM 21, 22 dan 24 ditukarkan ke Gred SSPA 2; Gred SSM 25 dan 26 (Gred SSPA 3), manakala 27 dan 28 menjadi Gred SSPA 4.

Bagi penjawat awam dengan kelayakan masuk peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma, bermula dengan Gred SSM 29 dan 30 ditukar kepada Gred SSPA 5; Gred SSM 31 hingga Gred 36 (kenaikan pangkat pertama) ditukar ke Gred SSPA 6, manakala Gred 36 (kenaikan pangkat kedua) hingga 38 (Gred SSPA 7) dan Gred 39 dan 40 pula (Gred SSPA 8).

Penjawat awam yang berkelayakan masuk peringkat Ijazah akan bermula gred SSM 41 dan 42 ditukarkan ke Gred SSPA 9, manakala Gred SSM 43 dan 44 menjadi Gred SSPA 10, Gred SSM 45 dan 46 kepada Gred SSPA 11, manakala Gred SSM 47 dan 48 menjadi Gred SSPA 12.

Bagi Gred SSM 51 dan 52 akan menjadi Gred SSPA 13, manakala Gred 53 dan 54 Gred SSPA 14 serta Gred SSM 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.

Gred SSPA
Gred SSM-Gred SSPA

Melalui penyeragaman gred gaji SSPA, gred perjawatan penjawat awam menjadi 15 gred berbanding 36 gred sebelum ini.

Gred SSPA sudah diseragamkan, bagaimana pula dengan pencen SSPA? Persoalan-persoalan tentang pencen SSPA penjawat awam ada diterangkan di sini.

Apa opsyen anda, adakah kekal bersama SSM atau beralih kepada SSPA? Dapatkan maklumat secukupnya supaya pilihan anda menjadi lebih tepat dan jelas.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *