Pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya diisytihar terbubar kerana melangkaui tempoh lima tahun yang berakhir pada 7 Jun lalu.

Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Ordinan Darurat dibatalkan iaitu sebelum 18 Setember depan.

Memetik laporan Wacana.my, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata PRN itu antara kesan utama kepada pembatalan enam Ordinan Darurat yang dibuat oleh Kabinet.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun.

“PRN Sarawak Ke-12 perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ordinan tidak lagi berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyebabkan DUN Sarawak yang sepatutnya dibubar pada 7 Jun lalu tidak berlaku. Berikutan itu. semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Pada awal bulan ini Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyatakan kerajaan negeri belum membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN Sarawak Ke-12.

Abang Johari berkata, pihaknya mahu memberi tumpuan terhadap usaha melengkapkan vaksinasi kepada 2.08 juta rakyat yang layak.

Sementara itu, Muhammad Fathi berkata, semua kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh Proklamasi Darurat seperti DUN Melor di Kelantan perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), juga dalam tempoh 60 hari Ordinan Darurat tidak lagi berkuat kuasa.

“Jika darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan DUN Bugaya juga ditamatkan, PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan perlu dilaksanakan,” katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat sokongan untuk kelulusan Belanjawan 2022 atau kalah dalam apa-apa pengundian di Dewan Rakyat yang boleh ditafsirkan sebagai hilang kepercayaan ahli dewan.

Katanya, berdasarkan Perkara 40(3), jika tiada calon lain yang layak dilantik Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas kehendak Perdana Menteri.

“Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, PRU-15 perlu dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here