Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan penggunaan nama ‘Timah’ pada satu jenama arak yang tular diperkatakan sebagai penghinaan kepada umat Islam.

Bahkan, iklan dan promosi arak tersebut dianggap biadap apabila menampilkan imej lelaki berkopiah dengan janggut panjang, seolah-olah memaparkan individu berimej agama.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata CAP kesal mengenai jabatan yang memberi kebenaran penjualan arak berkenaan di pasaran tempatan.

“Selain kandungan alkohol, CAP tidak faham bagaimana pihak kementerian boleh memberi kebenaran menggunakan nama dan gambar yang boleh mencetuskan kemarahan.

“Nama Timah itu bagai satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan berkait dengan nama Melayu dan Islam iaitu Timah yang disingkatkan daripada Fatimah.

“Malah, nama arak Timah itu sendiri dianggap sebagai hasil usaha berterusan dalam sejarah Tanah Melayu membawa kepada kemajuan pembangunan negara pada awal abad ke-20,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, arak tersebut dijual pada harga RM190 sebotol dengan kandungan alkohol sebanyak 40 peratus.

Tegasnya, jumlah itu menunjukkan kandungan alkohol adalah tinggi, sekali gus menimbulkan masalah sosial dalam kalangan peminumnya.

“Ia menggunakan label, gambar dan perkataan tidak masuk akal. Justeru, CAP mendesak kerajaan menjelaskan pendirian terhadap isu ini,” katanya.

Sehubungan itu, Subbarow menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan penjualan jenama arak Timah keluaran Malaysia di pasaran negara ini. [Sumber]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here