Bulan Muharram 2022 – Rebut kelebihan 9,10 Muharram

2 min


Bulan Muharram 2022Permulaan tahun baru Islam iaitu awal bulan Muharram 2022 bagi tahun 1444 Hijrah jatuh pada 30 Julai 2022.

Cuti Awal Muharram bagi negeri Kelantan dan Terengganu iaitu pada hari Ahad, 31 Julai 2022.

Awal Muharram menandakan tahun baru bulan Islam dan bulan Muharram itu mempunyai kelebihan yang perlu direbut. Bulan yang begitu dihormati dan salah satu dari empat bulan haram, iaitu bulan diharam berperang padanya.

Sabda baginda Rasullullah SAW: “Dalam setahun itu ada 12 bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadilakhir dan juga Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Kelebihan bulan Muharram

Apakah kelebihan bulan Muharram itu? Kelebihannya iaitu tarikh 10 Muharram yang mempunyai keistimewaan yang perlu direbut. Perlu direbut dengan melakukan ibadah puasa yang dikenali dengan puasa ‘Asyura.

Ibn Abbas pernah ditanya tentang puasa ‘Asyura. Kata Ibn Abbas, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura.” [HR Bukhari 2006]

Tentang kelebihan itu, Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah berkata, ‘Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdal berbanding hari lain untuk berpuasa selepas Ramadan.”

Walau ada pertikaian kerana hadis Muslim menyatakan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Namun ini menunjukkan puasa ‘Asyura tetap mempunyai banyak kelebihan.

Ini kerana hikmahnya, puasa ‘Asyura itu dinisbahkan kepada Nabi Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]

Pada hari itu Nabi Musa AS diselamatkan manakala firaun dan pengikutnya ditenggelamkan. Dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata, “Rasulullah tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran.

Kata Rasulullah: “Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” [HR Bukhari 3397]

Abu Qatadah berkata, “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa ‘Asyura, maka kata Rasulullah SAW, Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]

Itulah kelebihannya, mencari keampunan Allah, semoga diampunkan dosa setahun yang berlalu.

Namun begitu, 9 Muharram juga mempunyai kelebihan dan dianjurkan berpuasa padanya.

Ketika Rasulullah berpuasa dan menganjurkan orang ramai berpuasa pada hari Asyura, maka para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.”

Maka Baginda Rasullullah bersabda, “Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam)”. (Berkata Ibn Abbas, “Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat”. [HR Muslim 1916]

Berpuasa 9, 10 Muharram

Oleh itu adalah disunatkan berpuasa pada 10 Muharram. Imam Syafie berkata, sunat juga berpuasa pada 9 Muharram kerana Baginda Rasulullah SAW berniat untuk berpuasa pada tahun yang akan datang dengan berpuasa 9 dan 10 Muharram.

Bagi mereka yang ingin berpuasa pada 10 Muharram sahaja, tidak menjadi masalah. Namun paling baik adalah 9 dan 10 Muharram. Ini kerana Imam Nawawi berkata, puasa pada 9 Muharram adalah untuk membezakan dengan puasa orang Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Sama-samalah kita melakukannya dan diberi kekuatan untuk melakukannya.

Juga bersumber daripada Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) – TV Al-Hijrah


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

...

error: Content is protected !!