Hebat pencapaian brader ‘Mustang terbang’. Ini kerana dalam tempoh 9 bulan dia berjaya menjual 1 juta burger dan kini miliki 600 cawangan gerai seluruh negara.
Percubaan usahawan Syukor Majid yang tidak pernah kenal erti putus asa membuahkan hasil apabila jenama Syukor Burger terjual sebanyak sejuta biji pada Ogos lalu.
“Saya rasa macam mimpi angka sejuta itu berjaya dicapai, maklumlah kami baru sahaja memulakan perniagaan ini sembilan bulan lalu.
“Tapi tiada yang mustahil dalam dunia ini, jika kita berusaha pasti Allah bukakan jalan,” katanya.
Memetik laporan mStar, usahawan yang berusia 33 tahun itu berkata pada awal memulakan perniagaan itu dengan niat untuk membantu membuka peluang pekerjaan memandangkan ketika ini ramai terkesan dan terputus rezeki akibat kehilangan kerja.
Syukor memberitahu bisnes ‘offline’ diusahakan turut terkesan dan merundum. Ini memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan aktiviti sehingga menyukarkan pembeli membuat pembelian.
Namun katanya, dia menggunakan medium jualan dalam talian sebagai jalan keluar bagi menyelamatkan perniagaan sedia ada di samping mencuba beberapa perkara baharu termasuk menghasilkan Syukor Burger.
Mengimbau kembali percubaan memasuki dunia perniagaan burger, Syukor memberitahu dia tergerak hati untuk memulakan perniagaan itu apabila membaca tentang kadar pengangguran yang naik mendadak akibat pandemik.
“Terdetik di hati untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahahan. Tiba-tiba datang ilham untuk berniaga rangkaian burger dan saya segera mengumpulkan pasukan saya untuk berbincang mengenainya.
“Jujurnya pengetahuan tentang burger memang tiada. Tapi dalam tempoh singkat itu, kami sama-sama belajar buat semua perkara termasuklah roti, patty, sos dan mayonis. Alhamdulillah sekarang sebut apa sahaja jenis burger kami sudah pandai buat,” katanya.
Bagi mengotakan janji, menurutnya peniaga yang berminat untuk menjual burger tidak perlu mengeluarkan sebarang modal malah dia turut menyediakan burger dan bahan mentah.
Sambutan yang diterima sangat luar biasa sehingga ada yang sanggup membayar demi membuka francais Syukor Burger.
“Saya terpaksa tangguhkan idea membuka francais buat masa ini kerana ingin fokus bantu mereka yang tersepit terlebih dahulu. Bukan sahaja nak bantu tetapi mendidik mereka menjadi seorang usahawan sebenar,” katanya.
Selain berjaya membuka 200 peluang pekerjaan baharu, Syukor memberitahu dia juga kini mempunyai 600 cawangan gerai di seluruh Malaysia.
“Ini bermakna ada 600 operator berjaya kami bantu dalam tempoh pandemik. Insya Allah menjelang akhir tahun, kami berharap angka itu meningkat kepada 1,000,” ujarnya.Tahun lalu, Syukor Majid pernah tular dengan kisah kereta Mustang miliknya menyeberangi parit di Bertam, Pulau Pinang ketika dipandu isterinya.
0 Comments