Isyarat bendera putih yang popular di Malaysia kini mula menular ke Indonesia khususnya Jawa Barat. Agak sedikit berbeza di Indonesia kerana mereka memasang bendera putih sebagai tanda kesedihan.
Terdapat kira-kira 30 hotel dan restoran di Kabupaten Garut, Jawa Barat, memasang bendera putih dengan emogi menangis sebagai tanda kesedihan kerana perniagaan suram akibat daripada Sekatan Kegiatan Komuniti Darurat (PPKM).
“Kami meletak bendera putih di hotel dan restoran, ini adalah ungkapan kesedihan kami dengan keadaan perniagaan semasa,” kata Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) Kabupaten Garut, Deden Rohim seperti dipetik Viva News.
Menurutnya bendera merah dan putih dengan emoji menangis yang dipasang sejumlah hotel dan restoran di Kota Garut sebagai ekspresi pengusaha berkaitan perniagaan semasa mereka agar terus mendapat perhatian.
Katanya perniagaan hotel dan restoran di Garut, telah berusaha bertahan selama dua tahun sejak berlakunya wabak Covid-19, walaupun kosong dengan pengunjung kesan PPKM Darurat.
“Kita terus berjuang selama hampir dua tahun dengan covid ini, ini (bendera) adalah cerminan, hati kita menangis,” katanya.
Kesukaran berlaku kerana mereka terpaksa menanggung kos pekerja dan kos operasi asas lain seperti bil elektrik.
Sekiranya keadaan ini berterusan, perniagaan hotel dan restoran di Garut akan buntu untuk membayar gaji pekerja dan kos penyelenggaraan.
“Jika PPKM diteruskan, saya terpaksa memberhentikan semua pekerja. Mohon pemerintah memberi mereka makan kerana (pemilik perniagaan) tidak lagi mampu membayar,” kata Deden.
Dia berharap agar pemerintah daerah memberi perhatian terhadap bisnes hotel dan restoran dengan memberikan subsidi atau pengecualian sewa selama pandemik Covid-19.
0 Comments