Ayuh Malaysia – Platform jaringan sosial Malaysia

1 min


Ayuh Malaysia

Ayuh Malaysia merupakan jaringan perusahaan sosial yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli susulan peletakan jawatannya daripada Kabinet selain kegagalannya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR.

“Saya berlapang dada dan bersyukur dengan percaturan politik yang membawa kepada peletakan jawatan saya. Tumpuan saya kini ialah membina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial,” katanya.

Perusahaan sosial ialah entiti yang menjalankan aktiviti ekonomi dengan matlamat membantu masyarakat, bukan semata-mata untuk keuntungan. Keuntungan yang dijana akan dikembalikan kepada pekerja dan komuniti menjadikannya lebih mampan dan berdaya saing berbanding perniagaan konvensional.

Melalui Ayuh Malaysia, Rafizi turut menyatakan hasrat untuk membangunkan sektor ketiga iaitu sektor perusahaan sosial yang menggabungkan kecekapan perniagaan dengan matlamat sosial, sebagai alternatif kepada pertubuhan bukan kerajaan yang bergantung kepada sumbangan dan geran.

Platform Ayuh Malaysia, jelasnya, akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk:

• Mewujudkan perusahaan sosial dalam pelbagai bidang;

• Menyediakan kepakaran dan sokongan melalui jaringan rakyat;

• Menyusun sumber kewangan dan penyeliaan yang telus;

• Menghubungkan perusahaan sosial dengan kumpulan penerima manfaat.

Ayuh Malaysia akan dilancarkan secara rasmi pada 27 Julai ini dengan perincian lanjut akan dibentangkan semasa majlis tersebut.

“Saya mengajak aktivis dan rakyat biasa untuk bersama-sama membina jaringan perusahaan sosial ini demi kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial rakyat,” tambah Rafizi.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

.