Apa itu Visa Furada? Visa Furada merupakan visa yang diuruskan sendiri oleh orang perseorangan, kumpulan tertentu atau agensi pelancongan dan dikeluarkan terus Kedutaan Besar DiRaja Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Ia merupakan visa khas yang tidak dikeluarkan melalui pengurusan Lembaga Tabung Haji Malaysia (TH) serta tidak membabitkan kuota haji yang diperolehi oleh TH.

Biasanya visa Furada akan ditawarkan bersama pakej haji dalam anggaran RM38,000 dan boleh mencecah sehingga RM56,000 atau mungkin lebih. Biasanya bayaran pendahuluan RM15,000 akan dikenakan dengan sebab untuk urusan visa di Kedutaan.

Penipuan boleh berlaku sekiranya tidak berhati-hati. Seseorang yang sangat berhajat untuk menunaikan haji mudah terpesona dengan tawaran sedangkan tiada sebarang jaminan visa Furada diluluskan kepada pemohon.

Tambahan pula senario musim haji yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Bahkan TH juga tidak dimaklumkan apa-apa berkaitan pengeluaran visa Furada kerana setiap tahun pengeluaran visa itu dalam pengetahuan TH. Pastikan anda rujuk TH sekiranya ditawarkan visa Furada.

Oleh itu mereka yang ingin mengerjakan haji dan tidak melalui TH, digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH. Pakej haji disediakan PJH bermula dengan harga RM35,000 dan ke atas diiktiraf serta menggunakan kuota haji yang dikhaskan untuk TH sendiri.

Senarai PJH yang diluluskan bagi tahun 1443H2022 boleh dilihat di sini.

Berikutan itu ada kumpulan serta agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH akan menawarkan pakej haji kononnya dengan menggunakan visa furada. Oleh itu dinasihatkan bakal jemaah lebih berhati-hati serta membuat siasatan lanjut bagi memastikan kesahihannya.

Bagaimana sekiranya jemaah haji ditipu?

Bagaimana sekiranya tertipu. Langkah pertama adalah membuat laporan polis. Namun jaminan wang dikembalikan belum pasti sekiranya membabitkan pihak perseorangan atau kumpulan yang tidak berdaftar.

Seterusnya sekiranya melibatkan agensi pelancongan, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Pihak MOTAC boleh menggantung atau membatalkan lesen agensi terbabit.

Aduan rasmi kepada pihak MOTAC boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Aduan yang dibuat perlu disertakan dengan dokumen seperti bukti tempahan pakej, bukti pembayaran deposit, bukti pembayaran penuh, salinan pasport atau visa, salinan tiket penerbangan (jika ada), laporan polis dan apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan.

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *