Pingat EmasApabila pemenang pingat emas pertama Filipina menyebut nama kampung Kesang, Melaka membuatkan kita tertanya-tanya kenapa?

Hidilyn Diaz dalam ucapan penghargaan setelah memenangi pingat emas menyebut nama Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka dan juga nama Ahmad Janius Abdullah, Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Menurut Ahmad Janius Abdullah dia bangga walaupun pingat emas itu bukan untuk Malaysia.

“Walaupun pingat emas itu bukan untuk Malaysia, namun apabila dia (Hidilyn Diaz) sebutkan satu persatu nama Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka di atas pentas dunia, saya sangat terharu dan berbangga dengan pencapaiannya,” katanya.

Nama Ahmad Janius Abdullah turut disebut oleh Hidilyn Diaz ketika menzahirkan ucapan terima kasih mengenai bantuan serta dorongan diberikan sebelum berjaya memenangi pingat emas Olimpik Tokyo 2020.

Pada 16 September tahun lalu Hidilyn Diaz telah terkandas i negara ini akibat pandemik Covid-19 lalu Ahmad Janius membawanya ke kampung halamannya mentuanya di Kesang Tua, Jasin, Melaka.

“Saya bawanya ke sini selepas dia meluahkan mengalami masalah mencari tempat berlatih susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun dia seorang yang mementingkan kesempurnaan fasiliti, namun dia cepat menyesuaikan diri dengan kemudahan yang ada dan berlatih di sini sehinggalah saat akhir sebelum berangkat ke Tokyo, Jepun pada 18 Julai,” katanya kepada Kosmo Online hari ini.

Menurut Ahmad Janius, Diaz melakukan latihan selama tujuh jam sehari di sebuah garaj yang telah diubahsuai di hadapan rumah mentuanya itu untuk dijadikan tempat latihan angkat berat.

“Dia sangat fokus dalam latihannya dan sekiranya ada yang kurang selesa seperti masalah getah di platform dia akan berterus-terang dan saya akan memperbaiki keadaan,” katanya.

Pemenang pingat emas itu bersama kira-kira 10 bulan menjalani kehidupan di perkampungan Melaka. Dia tidak kekok untuk bergaul dengan penduduk tempatan malah turut berkongsi pengalamannya dengan anak muda negeri ini.


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *