Amat tidak adil guru DG48, penjawat awam gred M48 dilabel T15

3 min


Guru DG48Kita terpaksa bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini. Label yang salah tentang golongan ‘maha kaya’ dan dinafikan subsidi yang sepatutnya.

Label yang salah tentang golongan yang berpendapatan tinggi iaitu mengklasifikasi kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi kerajaan.

Untuk bertindak adil, klasifikasi pendapatan telah wujud semasa zaman Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Datang kerajaan Madani dengan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri tetapi tetap meneruskan klasifikasi atau label yang yang salah tentang golongan T15. Bukan hendak memperbetul tetapi tetap meneruskan label yang salah. Nampaknya kerajaan Madani juga ‘cakap tak serupa bikin’ semasa mereka pembangkang dahulu.

Dengan pendapatan RM13,295 sebulan ke atas mereka dilabel golongan maha kaya adalah tidak adil. Itulah yang disuarakan Ka Siong hari ini.

Memetik laman Berita Harian, takrifan itu, katanya berdasarkan kepada data pendapatan isi rumah daripada Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) dan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) oleh Jabatan Perangkaan sehingga 2022.

Gaya hidup pasangan guru DG48 setaraf jutawan?

“Ini bermakna tokoh korporat dan jutawan termasuk dalam kategori ini, begitu juga pasangan suami isteri yang kedua-duanya adalah guru gred DG48 atau penjawat awam gred M48…. adakah ini adil?”

Berdasarkan rekod, gaji bulanan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG48 adalah minimum RM5,125 dan maksimum RM11,640 dengan kadar kenaikan tahunan RM250. Untuk Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, gaji bulanan kakitangan gred M48 pula minimum RM5,206 dan maksimum RM11,764, dengan kenaikan tahunan RM270.

Ka Siong juga menegaskan kumpulan T15 tidak sepatutnya dihukum dengan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan kerana mereka juga menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.

“Ini seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang rajin bekerja setiap hari untuk memperoleh RM13,295 sebulan.

“Mana mungkin gaya hidup pasangan guru ini setaraf dengan jutawan,” katanya.

Kerajaan mengelirukan orang ramai

Ka Siong juga berkata kerajaan juga mengelirukan orang ramai dengan menggunakan pendapatan sebagai kriteria subsidi, walaupun sebelum ini berjanji untuk tidak berbuat demikian.

Katanya, pelaksanaan dasar kerajaan terutamanya formula Budi MADANI untuk subsidi diesel dan petrol, tidak konsisten.

“Kerajaan sebelum ini menyatakan pendapatan tidak akan digunakan sebagai ambang, jadi mengapa mereka kini menggunakan kumpulan T15 untuk pelaksanaan subsidi.

“Bukan kita saja pening, rakyat di luar pun lagi pening,” katanya.

Tambahnya lagi, T15 juga bakal dikurangkan subsidi pendidikan dan kesihatan secara berperingkat.

“Janganlah menghukum mereka seperti ini. Penyediaan akses pendidikan dan kesihatan yang baik adalah tanggungjawab utama kerajaan tanpa perlu menganaktirikan mana-mana kelompok di negara ini.

“Sepatutnya asas pendidikan dan kesihatan disediakan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ka Siong membangkitkan kenyataan Menteri Ekonomi sebelum ini yang memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk mengenakan dua harga berlainan bagi RON95 di stesen petrol apabila subsidi pukal dimansuh tahun depan.

Katanya, akan ada harga yang tidak bersubsidi untuk golongan T15, manakala baki 85 peratus rakyat masih akan membayar harga bersubsidi.

“Sekiranya mahu letak dua harga bagi RON95, maka kena ada satu mekanisme atau cara di stesen petrol untuk kenal pasti siapa T15 dan baki 85 peratus yang lain.

“Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar kegagalan Kerajaan PH 1.0 terdahulu untuk melahirkan satu mekanisme pemberi subsidi petrol walaupun RM25 juta sudah dibayar kepada sebuah syarikat perunding,” katanya.

Tambah RM15,000 untuk menunaikan haji

Sebagai tambahan pasangan yang berpendapatan RM13,295 sebulan yang dilabel golongan berpendapatan tinggi T15 itu terpaksa membayar tambahan RM15,000 untuk menunaikan haji. Golongan M40 mendapat subsidi dengan dikenakan RM15,000 tetapi golongan T15 terpaksa membayar RM30,000 seorang untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu. Macam ‘bodo’ pula rasanya sistem kasta zaman ini.

Lainlah kalau golongan T15 itu dikategori berpendapatan RM50,000 sebulan atau RM600,000 setahun.

Satu lagi kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak berkaitan, ada kes pasangan yang memohon untuk menunaikan haji, hanya seorang sahaja diluluskan dengan kos RM15,000 dengan subsidi. Sekiranya pasangan ingin turut serta, boleh membuat rayuan dan akan diluluskan. Apabila diluluskan, kategori ‘rayuan’ akan dikenakan kos RM30,000 tanpa subsidi. Adakah ini ‘mainan’ pihak berkenaan? yang akan meluluskan seorang sahaja setiap pasangan supaya dapat di’pau’ pasangan dengan RM30,000?

Harapannya (yang nampaknya kini tidak boleh diharap sangat!), supaya pihak kerajaan adil dengan mengklasifikasi golongan T15 yang berpendapatan hanya lebih sedikit daripada M40, lainlah sekiranya mereka yang berstatus jutawan sehingga mampu membeli motosikal RXZ RM140,000.

Mereka telah dikenakan cukai yang lebih tinggi, tidak adil sekiranya semua subsidi untuk mereka dihapuskan. Kasihanilah mereka lebih-lebih lagi yang mempunyai tangungan yang ramai!!


0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *

.